Saringan Covid-19 Masih Wajib Di Labuan

Saringan Covid-19 mandatori masih diadakan di pintu masuk Labuan, sama ada melalui terminal feri atau lapangan terbang. (Gambar Bernama)

LABUAN: Pelawat dari seluruh negara yang memasuki Labuan masih perlu menjalani saringan Covid-19 mandatori di pintu masuknya, sama ada melalui terminal feri atau Lapangan Terbang Labuan, menurut kata Pengarah Jabatan Kesihatan Labuan, Dr Ismuni Bohari.

Saringan itu bertujuan mengenal pasti simptom dan sejarah perjalanan (melalui aplikasi MySejahtera) yang merupakan sebahagian usaha Jabatan Kesihatan Labuan membendung penularan Covid-19.

Ismuni berkata, individu yang mempunyai gejala akan diarahkan menjalani kuarantin, manakala yang tiada gejala, tetapi dari zon merah dikehendaki menjalani kuarantin kendiri.

“Pelawat dari bahagian lain – Semenanjung, Sabah dan Sarawak – perlu membuktikan keputusan negatif Covid-19 tiga hari sebelum tiba di sini.

“Mereka yang telah menjalani ujian ‘polymerase chain reaction’ (PCR) Covid-19 dan belum memperoleh keputusannya, harus menunjukkan resit ujian sebagai bukti. Tidak perlu jalani ujian berulang, tetapi pegawai kesihatan kami (di pintu masuk) akan memberi mereka gelang untuk kuarantin kendiri sehingga keputusan diperoleh.”

Katanya, saringan itu masih dijalankan di pintu masuk kerana Labuan mencatatkan 53 kes aktif, dengan empat pesakit dirawat di unit rawatan rapi Hospital Labuan.

Beliau berkata, pelawat dari Labuan yang melawat Sabah, Sarawak dan Semenanjung melebihi tiga hari, perlu menjalani ujian Covid-19 semula setibanya di pintu masuk Labuan.

“Pelaksanaan semula perintah kawalan pergerakan pemulihan tidak bermaksud Labuan bebas daripada jangkitan, tetapi kes adalah stabil ke arah sifar.”

Katanya, kes positif dikesan hampir setiap hari di terminal feri.

“Rakyat khususnya komuniti perniagaan perlu mematuhi SOP dalam menjalankan perniagaan. Sekiranya berlaku lonjakan kes Covid-19, kemungkinan Labuan sekali lagi diletakkan di bawah sekatan pergerakan.” – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *