Sabah Benarkan Tiga Kategori Individu Masuk

Gambar Hiasan

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri telah memperincikan beberapa ketetapan berkenaan pergerakan keluar masuk Sabah selaras dengan keputusan pelanjutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Sabah bermula esok sehingga 20 Disember ini.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor, berkata terdapat tiga kategori individu yang dibenarkan masuk ke Sabah ketika pelaksanaan PKPB ini.

“Kemasukan individu ke Sabah adalah dibenarkan untuk tujuan lawatan sosial bagi kategori seperti warganegara (pemegang MyKad, MyPR dan MyKAS); pemegang pas imigresen jangka panjang (bukan warganegara) sah tempoh dan suami atau isteri kepada rakyat Sabah serta tanggungan.

“Semua individu yang akan masuk ke Sabah atau dari Sabah ke Semenanjung sama ada melalui pintu masuk udara, laut dan darat perlu menjalani ujian saringan COVID-19 tiga hari sebelum perjalanan.

“Hanya individu yang mempunyai keputusan ujian negatif dan tidak bergejala akan dibenarkan masuk ke Sabah atau dibenarkan keluar dari Sabah untuk meneruskan perjalanan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Terdahulu, media melaporkan pergerakan merentas daerah dan negeri dibenarkan di seluruh negara, kecuali di kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD), bermula Isnin ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata bermula esok juga, polis tidak lagi akan melaksanakan sekatan jalan raya, sebaliknya menguat kuasa pematuhan prosedur operasi standard (SOP). – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *