Kumpulan Pertama Pelajar Tajaan Yayasan Sabah Tiba Di KKIA

Antara Kumpulan Pertama Pelajar Tajaan Yayasan Sabah Tiba Di KKIA hari ini.

KOTA KINABALU: Seramai 84 orang pelajar sekolah menengah tajaan Kumpulan Yayasan Sabah tiba di Lapangan Terbang Kota Kinabalu (KKIA), di sini hari ini.

Ini adalah kumpulan pertama yang dibawa pulang dari Kuala Lumpur sejak gelombang ketiga pandemik Covid-19 melanda negara.

Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Gulamhaidar Khan Bahadar yang turut hadir menyambut ketibaan kumpulan pelajar itu berkata, secara keseluruhan terdapat 93 orang pelajar tajaan Yayasan Sabah yang dibawa pulang.

Seramai 84 orang pelajar ini adalah kumpulan pertama, sembilan orang lagi akan dibawa pulang pada 4 Disember.

Katanya, daripada 84 orang pelajar yang tiba di KKIA itu, tiga orang pelajar akan dihantar pulang ke Lahad Datu dan 15 orang pelajar dihantar ke Tawau. Untuk kumpulan kedua nanti, ia melibatkan sembilan pelajar yang akan dihantar ke Sandakan dari Kuala Lumpur.

“Proses penghantaran pulang pelajar ini diatur secara berperingkat berdasarkan pematuhan garis panduan yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Sebelum pulang ke Sabah, para pelajar ditempatkan di Wisma Yayasan Sabah di Jalan Ampang dan Asrama Adni, Kuala Lumpur.

“Pelajar-pelajar itu telah menjalani ujian saringan Covid-19 di Kuala Lumpur dan akan dikuarantin di rumah masing-masing. Mereka dijangka akan berada di Sabah sehingga sekolah dibuka semula pada 20 Januari 2021,” jelasnya.

Ghulam berkata, dengan mengambil tindakan lebih awal yang efektif dan drastik, kita dapat memastikan keselamatan dan kesihatan dapat dikekalkan pada masa akan datang.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada KKM dan Kementerian Pendidikan Malaysia yang turut terlibat dalam urusan penghantaran pulang pelajar-pelajar tajaan Kumpulan Yayasan Sabah ini.

Dalam pada itu, beliau berharap ibu bapa pelajar turut memainkan peranan dalam memastikan anak-anak mereka mematuhi prosedur kuarantin yang ditetapkan oleh KKM sebaik sahaja mereka tiba di rumah masing-masing.

Tambahnya, ini adalah kali kedua Kumpulan Yayasan Sabah membawa pulang pelajar tajaannya balik ke Sabah selepas gelombang pertama pandemik Covid-19 ini bermula pada 2 Mei lalu. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *