Kenali Etnik, Budaya Sabah Hanya ‘Di Hujung Jari’

Jafry Ariffin (3 dari kanan) melancarkan aplikasi ‘E-Culture Sabah’ di Balai Seni Lukis Sabah, Kota Kinabalu, hari ini. (Gambar Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar)

KOTA KINABALU: Orang ramai boleh mendalami etnik dan budaya di Sabah menerusi aplikasi “E-Culture Sabah” yang dilancarkan Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri itu hari ini.

Menterinya, Jafry Ariffin berkata, aplikasi itu dibangunkan Lembaga Kebudayaan Sabah dengan kerjasama Alpha Graphic Mobile Apps Developer sejak awal bulan lalu.

“Sabah merupakan negeri yang mempunyai paling banyak etnik di Malaysia, iaitu 35 etnik dan 217 sub etnik.

“Untuk mengenali etnik serta budayanya, kita perlu turun ke kampung untuk berjumpa mereka ataupun pada musim perayaan atau pesta budaya, barulah kita dapat melihat dengan lebih dekat.

“Namun, dengan pengenalan aplikasi E-Culture Sabah, persoalan berkaitan etnik dan budaya boleh diketahui dengan mudah dan hanya di hujung jari,” katanya ketika berucap merasmikan aplikasi itu di Balai Seni Lukis Sabah hari ini.

Beliau berkata, sejarah dan latar belakang, kepercayaan, amalan dan pantang larang, alat muzik dan tarian tradisional, pakaian tradisional etnik, makanan tradisional serta bahasa etnik akan dipaparkan dalam bentuk infografik padat serta mudah difahami.

“Dalam aplikasi ini, pengguna juga boleh mempelajari asas bahasa sukuan Sabah dalam bentuk audio dan ianya amat berguna, terutama bagi pengguna yang ingin mempelajari asas bahasa sukuan di Sabah, khususnya generasi muda.

“Kandungan dalam bahasa etnik akan ditambah dan dikemas kini dari semasa ke semasa bagi membolehkan lebih banyak kosa kata diperoleh menerusi aplikasi ini.”

Katanya, aplikasi itu turut memuatkan permainan telefon bimbit dan “mini puzzle”. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

1856