Hanya Bergantung Pada PPE Elak Jangkitan

Anggota dari BBP Sandakan bersiap sedia menjemput individu positif Covid-19 yang perlu dikuarantin. Gambar Hazsyah Abdul Rahman

SANDAKAN: Menggalas tugas menjemput individu positif Covid-19 menjalani kuarantin bukanlah sesuatu yang mudah, ia bukan saja memerlukan keberanian, malah disiplin tinggi dalam menanganinya.

Itu antara tanggungjawab besar perlu dipikul anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, khususnya di Sandakan dalam mengekang penularan Covid-19 berikutan peningkatan wabak itu di daerah ini.

Ketua Zon Enam JBPM Sabah Martin Thomas berkata, pihaknya mula membantu mengambil dan menghantar individu yang positif Covid-19, kontak rapat atau bergejala, sejak Oktober lalu untuk dihantar ke pusat kuarantin.

Menurutnya, pasukannya diminta menyediakan kenderaan bagi tugasan berkenaan dan dua anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan memikul tugasan terbabit.

“Anggota ini terlatih dan juga dari Unit Bahan Berbahaya (Hazmat). Bagi tugasan ini, kami akan menerima makluman dari hospital atau Pejabat Kesihatan Daerah untuk mengambil dan menghantar individu tertentu ke pusat kuarantin atau untuk menjalani ujian calitan.

“Ada juga tugasan diberikan yang mana kami perlu ambil, bawa ke tempat ujian saringan dan dihantar semula ke rumah mereka,” katanya ketika ditemui Harian Metro, di sini, hari ini.

Martin berkata, anggota yang menjalankan tugas itu hanya bergantung kepada pakaian dan peralatan perlindungan (PPE) bagi mengelakkan jangkitan.

“Apa yang kami bimbangkan adalah risiko kebolehjangkitan sebab individu yang dibantu itu positif Covid-19. Kami cuma bergantung dengan PPE yang dipakai,” katanya.

Katanya, sehingga hari ini belum ada anggota bomba yang terbabit dengan operasi ini dijangkiti Covid-19.

“Kami berharap momentum ini dapat diteruskan dan bomba bersedia menghulurkan bantuan dalam sama-sama memerangi wabak Covid-19,” katanya. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

1089