Penjawat Awam Tidak Patut Terima BPN

Rohani menegaskan pendiriannya yang tidak bersetuju BPN diberikan kepada kakitangan kerajaan pada program Sinar Live bertajuk Dari T20 Kepada M20′ hari ini.

SHAH ALAM: Penjawat awam tidak sepatutnya menerima Bantuan Prihatin Nasional (BPN) kerana ia sepatutnya hanya diterima golongan yang benar-benar terjejas akibat penularan pandemik koronavirus (Covid-19).

Pengasas juga Perunding Utama Hijrah Wealth Management Sdn Bhd, Rohani Mohd Shahir berkata, golongan terkesan adalah yang dipotong gaji dan diberhentikan kerja.

“Amat zalim kalau kita berikan kepada semua orang kerana adil itu tidak melangkaui batas, adil itu memberi kepada orang yang memang memerlukan.

“Jadi biarlah kita salurkan bantuan itu kepada mereka yang memerlukan,” katanya pada program Sinar Live bertajuk ‘Dari T20 Kepada M20’ hari ini.

Program yang dihoskan Haslina AR Kamaludin turut menampilkan seorang lagi tetamu jemputan yang juga bekas juruterbang, Khairul Anwar Ajid.

Menurutnya, golongan yang tidak terjejas tidak seharusnya menerima bantuan tunai daripada kerajaan.

“Saya tidak setuju bantuan-bantuan (kerajaan) kerajaan diberikan secara rambang macam itu. Seharusnya kerajaan perhalusi kumpulan mana yang perlukan bantuan.

“Saya memang tidak setuju sebenarnya kakitangan kerajaan pun dapat BPN,” katanya.

Katanya, kerajaan diminta meneliti perkara itu semula supaya tumpuan dapat diberikan untuk membantu golongan yang benar-benar memerlukan sahaja.

“Saya doakan pihak berkuasa dan ahli politik fikirkanlah perkara ini. Letakkan anda dan keluarga anda dalam situasi mereka (kumpulan yang terjejas) dan anda akan berikan yang terbaik,” katanya.

Sementara itu, pada program tersebut, Khairul Anwar berkongsi mengenai Covid-19 mengubah gaya hidupnya dari udara ke darat iaitu dari juruterbang menjadi penghantar makanan.

Menurutnya, akibat hilang pekerjaan wang simpanannya hanya bertahan selama enam bulan.

“Justeru saya berterima kasih kepada kerajaan dari segi pelaksanaan moratorium dan memberi bantuan kerana setakat ini dapat menenangkan fikirkan kami serta dapat tidur dengan tenang.

“Tapi saya fikir ada lagi bantuan yang boleh disalurkan kerajaan contoh dalam Belanjawan 2021. Mungkin boleh mengambil kami yang kehilangan pekerjaan tetapi mempunyai kepakaran dalam bidang tertentu untuk masuk ke industri yang lain,” katanya. – SINAR

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

10606