Kakitangan Kerajaan Minta Rasuah RM3,000

TAWAU: Seorang Penolong Pengarah Kastam Gred WK44 lelaki kakitangan kerajaan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan meminta wang suapan bernilai RM3,000 di Mahkamah Khas Rasuah, di sini, hari ini.

Tertuduh, Ab Kassim Ab Kais, 51, didakwa melakukan kesalahan itu di Bilik Ketua Cawangan Perkastaman, Wisma Kastam Jalan Dunlop dalam daerah Tawau, pada 8 Ogos 2018, jam 10.30 pagi

Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh didakwa telah secara rasuah meminta suapan wang tunai RM3,000 dari Chua Soon Heng, 45, sebagai dorongan iaitu melepaskan bot dan enjin milik lelaki berkenaan kerana tidak membuat pengisytiharan bagi barang berkenaan.

Sehubungan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.

Hakim Abu Bakar Manat kemudian menetap tertuduh membayar wang jaminan sebanyak RM10,000 dengan deposit RM3,000 dengan seorang penjamin tempatan.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa SPRM Clementine Severinus.

Kes disebut semula pada 15 Oktober depan.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *