Tiga Lelaki Ditahan Cuba Seludup 324 Karung ‘Bundle’

Sebahagian karung ‘bundle’ yang masih berada di atas lori.

TAWAU: Padah cuba menyeludup 324 karung mengandungi barangan terpakai, tiga lelaki ditahan dalam Ops Benteng Covid, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian pukul 10 malam itu, suspek warga tempatan berumur antara 37 hingga 59 tahun ditahan ketika sedang leka memunggah karung berkenaan dari dua buah lori ke tebing sungai sebelum dimuatkan ke dalam bot untuk di hantar ke negara jiran.

Antara karung berisi barangan ‘bundle’ yang dirampas.

Difahamkan, suspek sengaja memilih kawasan kolam udang di situ bagi menjalankan operasi penyeludupan untuk mengelak dikesan pihak berkuasa.

Pegawai Pemerintah Batalion 14 Pasukan Gerakan Am (PGA) Tawau, Superintenden Mohd Yacob Murad mengesahkan perkara itu menerusi kenyataan media, hari ini.

“Ketika serbuan dilakukan, sebanyak 105 karung ditemui di tebing sungai, manakala 219 lagi masih berada di atas dua buah lori di lokasi kejadian.

“Hasil pemeriksaan yang dilakukan, semua 324 karung putih itu mengandungi barangan terpakai dianggarkan bernilai RM162,000,” katanya.

Tambah Mohd Yacob, barangan tersebut dipercayai cuba diseludup keluar ke negara jiran menerusi jalan laut.

Sehubungan itu, pihaknya merampas semua barangan tersebut termasuk lori dianggarkan bernilai RM342,000.

Kes disiasat mengikut Seksyen 135 Akta Kasam 1967 kerana kesalahan menyeludup.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

2062