Mayat Terapung Ditemukan Dipercayai Nurul Maslan

TAWAU: Mayat seorang lelaki ditemukan terapung di sempadan perairan Malaysia-Indonesia, di sini pagi ini, dipercayai milik Nurul Maslan Sabran, 34, yang dilaporkan hilang sejak Jumaat lalu.

Difahamkan mayat mangsa ditemukan keluarganya kira-kira pukul 10.30 pagi ini selepas  turut keluar mencari mangsa sejak kelmarin.

Ismail Sabran menenangkan anak mangsa di kediaman mereka di Taman Apas Permai.

Pihak media yang kebetulan baru tiba di rumah keluarga mangsa, sebentar tadi terkejut apabila terdengar suara tangisan pilu ahli keluarga lain termasuk tiga anak mangsa antara dua hingga tujuh tahun.

Adik mangsa, Ismail Sabran, 33, ketika ditemukan mengesahkan kejadian tersebut.

Jumaat lepas, Nurul Maslan keluar bersendirian dari Cowie Bay kira-kira pukul 5 petang ke kebunnya, di Sungai Melayu Pulau Sebatik dengan menjuragani sebuah perahu.

Bagaimanapun, mangsa dilaporkan tidak pulang kerumah dan disyaki telah hilang di laut.pada hari yang sama, sepasukan anggota Pasukan Polis Marin (PPM) yang melakukan Ops Benteng menemui sebuah perahu tanpa pengemudi dengan keadaan enjin masih hidup diperairan Ice Box kira-kira pukul 5.50 petang.

Satu operasi SAR kemudian diaktifkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bagi mengesan mangsa dengan bantuan PPM, Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Tawau, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Kesemua agensi keselamatan menggerakkan aset masing-masing dan operasi SAR turut dibantu keluarga serta penduduk Kampung.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Peter Anak Umbuas yang dihubungi pemberita RTM mengesahkan penemuan mayat lelaki merupakan mangsa hilang ketika dilaut.Bagaimanapun, laporan lanjut berhubung perkara itu akan dikongsikan kepada media.

Ketua JBPM Tawau, Penolong Penguasa Bomba Zulbada Alior ketika dihubungi mengesahkan penemuan tersebut.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

29628