Negara Bakal Buat Perubahan Besar Pengambilan Pekerja Asing

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

PUTRAJAYA: Negara bakal menyaksikan perubahan besar dalam dasar pengambilan pekerja asing dan kawalan terhadap Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) pascapandemik COVID-19, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Memperincikan perkara itu, beliau berkata tiba masanya dasar itu disemak semula susulan warga asing yang dilihat sebagai antara kumpulan yang menyumbang kepada peningkatan kes COVID-19, di negara ini serta beberapa negara lain termasuk Singapura.

“Mungkin disebabkan COVID-19 ini, akan ada perubahan besar dari segi dasar pengambilan pekerja asing dan satu lagi menyekat kedatangan warga asing secara haram. Itulah perkara besar yang akan berlaku daripada COVID-19 ini,” katanya dalam temu bual untuk dokumentari mengenai Perintah Kawalan

Pergerakan (PKP) terbitan Bernama TV di sini.

Menjelas lebih lanjut, katanya, ekonomi termasuk sektor pelancongan dilihat sangat terkesan dengan penularan COVID-19, menyaksikan banyak hotel dan kilang bakal ditutup serta pembuangan pekerja berlaku sekali gus menyebabkan jumlah pengangguran meningkat.

Sambil menyatakan pemulihan ekonomi pasca-COVID-19 mungkin agak perlahan, beliau berkata dasar kerajaan pasti akan mengutamakan rakyat tempatan untuk bekerja dalam negara berbanding warga asing.

Sebagai menteri yang diamanahkan mempengerusikan mesyuarat khas menteri-menteri mengenai PKP sepanjang COVID-19 ‘membadai’ negara serta menyampaikan perkembangannya setiap hari kepada rakyat, Ismail Sabri, berkata perkara itu akan dibincangkan dengan kementerian berkaitan bagi melihat semula dasar pengurangan bilangan pekerja asing di negara ini.

Selain perubahan dasar itu, turut diberi perhatian adalah isu kemasukan PATI ke negara ini yang tidak pernah berkesudahan.

Ahli Parlimen Bera itu berkata, selepas COVID-19 melanda, satu pasukan khas bersepadu dianggotai pelbagai agensi berkaitan ditubuhkan bagi memperkasa pengawalan sempadan negara termasuk di lorong-lorong tikus.

“Special task force bersepadu yang dipengerusikan oleh Panglima Angkatan Tentera ini dianggotai oleh agensi penguatkusaaan seperti ATM, PDRM, APMM dan beberapa lagi agensi, kita tubuhkan semasa COVID-19 untuk digemblengkan bukan sahaja dari segi anggota bahkan aset yang ada bagi memastikan PATI yang lolos pulang ke negara asal tidak akan lagi dapat masuk semula ke negara ini,” katanya.

Tegasnya, penguatkuasaan ini akan terus diperkasa walaupun selepas pandemik COVID-19 pulih bagi memastikan negara terus bebas daripada sebarang ulangan kes jangkitan import pada masa depan serta menyelesaikan isu-isu lain berhubung PATI.

Negara berdepan cabaran baharu dalam memerangi penularan COVID-19 apabila graf kes harian sebenar merangkumi semua kes COVID-19 di Malaysia menunjukkan peningkatan ketara, membabitkan kes positif dalam kalangan bukan warganegara sejak 29 April lalu.

Ia disebabkan kes import dari luar negara dan penularan wabak dalam kalangan bukan warganegara di beberapa Depoh Tahanan Imigresen dan juga dalam kalangan pekerja asing di pelbagai sektor dalam komuniti.

Semalam, daripada 93 kes baharu yang dilaporkan, 91 kes membabitkan warga asing di depoh tahanan imigresen, manakala hanya dua sahaja membabitkan warga tempatan.– BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

988