Sabah Benarkan Solat Jumaat 40 Jemaah

KOTA KINABALU: Majlis Fatwa Sabah memberi kebenaran untuk 40 jemaah menunaikan solat Jumaat di masjid-masjid yang dibenarkan seluruh negeri bermula 5 Jun ini.

Mufti Sabah, Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar berkata, bilangan jemaah untuk solat fardu turut dinaikkan kepada 12 orang.

“Pihak berwajib dan jawatankuasa masjid dikehendaki menentukan ahli jemaah solat Jumaat terlebih dahulu bagi mengelakkan kekeliruan dan perselisihan antara jemaah.

“Untuk jemaah berumur 70 tahun ke atas tidak dibenarkan hadir solat Jumaat,” katanya dalam satu kenyataan, di sini semalam.

Sebelum ini, hanya 12 orang jemaah untuk solat Jumaat termasuk imam dan khatib dibenarkan manakala empat jemaah dibenarkan untuk solat fardhu.

Bungsu berkata, bilangan jemaah itu termasuk ahli jawatankuasa masjid, imam dan khatib, manakala kebenaran solat fardhu adalah kepada jawatankuasa dan petugas masjid atau surau serta orang awam.

Katanya, setiap jemaah juga perlu menjalani pemeriksaan suhu badan dan memakai pelitup muka serta menggunakan pensatinasi tangan serta merekodkan kehadiran.

Tegasnya, mereka yang bergejala seperti demam, batuk dan sebagainya tidak dibenarkan hadir.

Jelas Bungsu, prosedur operasi standard (SOP) seperti penjarakan sosial tidak kurang satu meter, elak bersalaman dan memakai pelitup muka ketika solat juga perlu dipatuhi.

Menurutnya, orang awam masih belum dibenarkan hadir ke masjid atau surau melainkan telah diberikan kebenaran khas untuk menunaikan solat Jumaat.

“Saya berharap orang awam akan mematuhi nasihat dan saranan yang dikeluarkan dari semasa ke semasa ini.

“Umat Islam diharap terus istiqamah dalam melakukan ketaatan kepada Allah SWT walau dimana juga berada serta mematuhi perintah pihak berwajib bagi menghentikan penularan wabak Covid-19 ini,” jelasnya.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

3018