Lelaki Maut Motosikal Bertembung MPV Di Beluran

Keadaan kereta yang bertembung dalam kemalangan yang berlaku di jalan Paitan-Beluran

BELURAN: Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditunggang bertembung sebuah kenderaan di Kilometer 150 Paitan-Beluran, di sini, malam tadi.

Mangsa berusia 41 tahun maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan dalam kejadian pukul 7.20 malam tadi.

Keadaan kereta yang bertembung dalam kemalangan yang berlaku di jalan Paitan-Beluran

Ketua Polis Daerah Beluran, Superintendan Kasim Muda berkata, siasatan awal mendapati mangsa menaiki motosikal jenis Honda EX5 sedang dalam perjalanan dari arah Paitan ke Beluran.

Sebaik tiba di lokasi kejadian yang berselekoh dan garisan berkembar, katanya, mangsa telah memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) TOYOTA Innova.

“Mangsa mengalami kecederaan teruk di bahagian kepala dan badan. Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Kasim berkata, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Beluran untuk dibedah siasat, manakala pemandu kenderaan MPV iaitu seorang lelaki tempatan berusia 34 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, pemandu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beluran untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *