Covid-19: 51 Pulih, 38 Kes Baharu Termasuk 26 Import Dicatat Hari Ini

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah

PUTRAJAYA: Sebanyak 51 kes pulih daripada COVID-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 6,404 kes atau 81.5 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata bagi kes baharu pula sebanyak 38 kes dilaporkan sehingga jam 12 tengah hari ini.

Katanya, dengan pertambahan kes baharu itu ia menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di negara ini adalah sebanyak 7,857 kes.

“Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 1,338 kes.

Daripada jumlah kes baharu itu, sebanyak 26 kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara.

“Daripada 12 kes penularan tempatan, enam kes adalah kes bukan warganegara dan hanya enam kes dalam kalangan warganegara Malaysia.

“Sehingga kini, seramai lapan kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan dua individu masih memerlukan bantuan pernafasan,” katanya dalam sidang media harian COVID-19, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, hari ini tiada pertambahan kes kematian dan jumlahnya kekal sebanyak 115 kes iaitu 1.46 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.- Berita Harian

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *