Individu Dikuarantin Keluar Hisap Rokok, Jumpa Rakan Akan Didenda

Polis akan menyerahkan maklumat individu melanggar peraturan kuarantin kepada Jabatan Kesihatan untuk tindakan lanjut, termasuk dikompaun.- Gambar Hiasan

LABUAN: Polis mendapati beberapa orang yang dikuarantin di hotel di sini melanggar peraturan dengan keluar membeli dan menghisap rokok, serta berjumpa rakan dari luar di lobi premis itu yang dijadikan fasiliti kuarantin Covid-19.

Ketua Polis Labuan, Muhammad Farid Ahmad berkata selepas membuat pemeriksaan di hotel, pihaknya merekodkan maklumat mereka terbabit dan menyerahkan kepada Jabatan Kesihatan untuk tindakan lanjut, termasuk dikompaun.

“Mereka ini ialah kakitangan teknikal dan operasi dalam sektor minyak dan gas yang menamatkan tugas, tetapi perlu menjalani kuarantin 14 hari di hotel yang dijadikan kemudahan kuarantin sebelum dibenarkan pulang ke rumah di Semenanjung, Sabah dan Sarawak,” katanya semalam.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Labuan, Dr Ismuni Bohari berkata kira-kira 15 hotel diperiksa kelmarin dan mendapati 41 penghuni yang sedang dikuarantin telah melanggar peraturan.

“Terdapat pesakit di bawah pengawasan yang ditempatkan di hotel dijadikan kemudahan kuarantin tidak berada di dalam bilik mereka semasa pemeriksaan kira-kira 8 hingga 10 malam, mereka telah keluar dari bilik tanpa kebenaran dan menimbulkan risiko kesihatan kepada diri dan orang di sekeliling.”

Ismuni berkata, 7 kompaun dikenakan terhadap pesakit di bawah pengawasan dan pemerhatian, manakala 34 diberikan amaran terakhir kerana melanggar peraturan kuarantin di bawah Seksyen 22 (b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 [Akta 342].

Dalam operasi pematuhan prosedur operasi standard (SOP) perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) kelmarin, beliau berkata 7 premis makanan dikenakan amaran kerana melanggar garis panduan jarak sosial.

“Kami mendapati premis berkenaan tidak mengikuti SOP dalam susunan meja menyebabkan pelanggan mereka duduk berdekatan satu sama lain.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *