PPM Tahan Lima Lelaki Ceroboh Pelantar Minyak

Bot yang ditahan kerana menceroboh kawasan larangan dibawa ke Pangkalan PPM Kota Kinabalu – Foto Ihsan PPM

KOTA KINABALU: Lima lelaki termasuk dua beradik ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) kerana disyaki melakukan aktiviti menangkap ikan di kawasan larangan di pelantar minyak Tembungo, Kota Kinabalu, semalam.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Kota Kinabalu, Asisten Superintendan Enturan AK Lageh, berkata pasukan PPM yang sedang menjalankan rondaan di perairan Kota Kinabalu bergegas ke kawasan pelantar minyak Tembungo sebaik menerima maklumat kira-kira 6 petang.

Bot yang ditahan kerana menceroboh kawasan larangan dibawa ke Pangkalan PPM Kota Kinabalu – Foto Ihsan PPM

“Sebaik tiba di lokasi didapati lima bot dinaiki lima lelaki sedang menjalankan aktiviti menangkap ikan.

“Lima lelaki tempatan bersama bot masing-masing ditahan kerana menjalankan aktiviti menangkap ikan di kawasan larangan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Enturan berkata, semua lelaki berusia 26 hingga 65 tahun itu ditahan atas kesalahan menceroboh kawasan larangan.

“Suspek bersama bot masing-masing dibawa ke Pangkalan PPM Kota Kinabalu untuk siasatan lanjut. Anggaran keseluruhan rampasan bernilai RM75,000,” katanya.

Kes disiasat mengikut kesalahan Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959.

“Sabit kesalahan boleh dipenjara dua tahun atau denda RM1,000 atau kedua-dua sekali,” katanya.- Berita Harian

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

772