Kastam Rampas Rokok Seludup Bernilai Lebih RM200,000 Di Tawau & Sandakan

Pegawai JKDM Tawau menunjukkan sebahagian rokok yang dirampas.

TAWAU; 29 MEI 2020 (Jumaat): Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Sabah berjaya merampas rokok pelbagai jenama dengan anggaran taksiran cukai lebih RM200,000.00 dalam dua Ops Benteng berasingan di Tawau dan Sandakan, kelmarin.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah, Datuk Abdullah Jaapar dalam kenyataan medianya berkata, kedua-dua rampasan rokok berkenaan dikesan menerusi Ops Benteng yang bermula 24 Mei hingga 23 Jun ini.

Pegawai JKDM Tawau menunjukkan lokasi rokok seludup yang disembunyikan dibahagian badan lori treler.

Tangkapan pertama berjaya dikesan sebaik sepasukan Pasukan Penguatkuasaan Kastam Tawau menahan sebuah lori beserta trailer berhampiran sebuah sekolah di Jalan Tawau-Kalabakan kira-kira pukul 4 petang.

Katanya, penahanan itu susulan maklumat yang diterima pihaknya selain pemeriksaan lanjut terhadap Lori terbabit yang menemui pelbagai rokok bernilai RM29,120.00

Antaranya, 4,000 bungkus rokok masing-masing jenama Premium dan LA Menthol serta 800 bungkus G.G Surya yang disorok di bahagian bawah dan dalam trailer tersebut.

Pegawai JKDM Tawau menunjukkan rokok yang dirampas.

Datuk Abdullah berkata, pemandu lori Warga tempatan berumur 37 tahun turut ditahan serta direman bermula hari ini untuk siasatan lanjut.

Sementara di Sandakan, pada hari yang sama, pihak Kastam Sandakan berjaya menemukan beberapa kotak berisi pelbagai jenama rokok bernilai RM28,000.00 ringgit di kawasan Sibuga Jaya, Fasa 2, Batu 8, kira-kira pukul 8 malam.

Bagaimanapun katanya, tiada tangkapan dibuat dan nilai taksiran cukai kesemua rokok terbabit adalah RM134,800.00.

Jelas Datuk Abdullah, Kedua-dua kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(e) dan Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 135(1)(v)(aa) Akta yang sama.

Ia memperuntukkan hukuman denda 10 kali ganda nilai barang, atau RM100,000.00 yang mana lebih tinggi dan tidak lebih 20 kali ganda nilai barang atau RM500,000.00 yang mana lebih tinggi atau boleh dipenjarakan selama tempoh tidak kurang 6 bulan dan tidak lebih 5 tahun atau kedua-duanya sekali.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

SumbeR: BESTAWAUfm

2236