Usaha Kerajaan Bendung Covid-19 Bukan Sekat Kebebasan Rakyat Sambut Perayaan

KOTA KINABALU, 29 Mei: Pelbagai usaha yang dijalankan oleh kerajaan negeri pada masa ini dalam usaha membendung penularan wabak COVID-19 bukan bertujuan menyekat kebebasan rakyat meraikan perayaan yang disambut.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebaliknya berkata ia merupakan langkah berjaga-jaga bagi mengelak wabak itu daripada terus menular dalam kalangan masyarakat.

Oleh itu, sambutan Pesta Kaamatan pada tahun ini turut terkesan berikutan pandemik virus itu yang melanda dunia termasuk di negara ini.

“Dalam konteks perayaan ini, kita perlu mengorbankan keselesaan dan kebebasan dengan tidak meraikan perayaan ini secara besar-besaran dan sentiasa mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan,” katanya dalam perutusan sempena sambutan Pesta Kaamatan pada tahun ini.

Menyingkap sejarah Kaamatan, Mohd Shafie berkata pesta itu berkisar tentang legenda Huminodun yang telah mengorbankan diri bagi menyelamatkan kaum Kadazan Dusun Murut yang ditimpa bencana kebuluran kerana tidak mempunyai sumber makanan.

Justeru, dengan mengambil iktibar daripada kisah pengorbanan Huminodun itu, rakyat pada ketika ini juga seharusnya perlu melakukan sedikit pengorbanan iaitu dengan mematuhi SOP yang telah ditetapkan.

“Kita perlu mengambil tanggungjawab bersama, sama ada pihak kerajaan mahupun rakyat untuk memerangi wabak COVID-19 ini kerana ia memerlukan kita untuk bersatu padu dalam mengelakkan wabak ini daripada terus merebak,” katanya.- BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

793