Balik Kampung, Ziarah Kubur, Berpesta Antara Lapan Aktiviti Tidak Dibenarkan Semasa Aidilfitri Di Sabah

KOTA KINABALU, 21 Mei: Ziarah kubur merupakan antara lapan aktiviti yang tidak dibenarkan semasa perayaan Aidilfitri di Sabah, kata Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Safar Untong.

Beliau berkata tujuh lagi aktiviti tidak dibenarkan sepanjang Aidilfitri tahun ini ialah berkunjung ke rumah saudara-mara; balik kampung; rumah terbuka; berjemaah di masjid; kenduri; marhaban dari rumah ke rumah dan berpesta.

“Kerajaan negeri melalui Pusat Arahan COVID-19 Sabah menasihati semua rakyat di negeri ini supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara semasa sambutan Aidilfitri dan perayaan kebudayaan etnik.

”Adalah diingatkan sepanjang tempoh perayaan, sambutan hanyalah dibenarkan dalam kalangan keluarga tinggal serumah sahaja dan hendaklah tidak melebihi 20 orang bergantung kepada keluasan rumah,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Safar berkata kerajaan negeri juga berharap dengan pematuhan SOP itu akan dapat membantu mengurangkan penularan jangkitan COVID-19 dalam kalangan komuniti.

Orang ramai dimohon untuk memastikan penjagaan kesihatan dan kebersihan diri sentiasa diutamakan, selain mengamalkan penjarakan sosial, katanya.- BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Info Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

3236