7 Ribu Penduduk DUN Apas Terjejas PKP Terima Bantuan Bekalan Makanan, Wang Tunai

TAWAU; 22 MEI 2020 (Jumaat) – Kira-kira 7 ribu penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Apas menerima bantuan bekalan makanan asas serta wang tunai sepanjang tempoh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Bulan Ramadan dan menjelang Hari Raya Aidilfitri.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, walaupun ketika ini negara masih berdepan Pandemik COVID-19, pihaknya sentiasa tampil menyalurkan bantuan kepada penduduk yang memerlukan dan terjejas pendapatan semasa PKP.

Datuk Nizam yang juga Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Tawau berkata, penerima bantuan itu terdiri dalam kalangan asnaf, warga emas, ibu tunggal dan Orang Kurang Upaya (OKU).

Beliau berkata demikian kepada pemberita RTM selepas mengagihkan juadah Berbuka puasa berupa Bubur Lambuk dan kuih-muih dengan kerjasama Srikandi BERSATU Tawau kepada pengguna Jalan Raya di Jalan
Tun Hamdan, di Tawau.

Mengulas lanjut, Datuk Nizam berkata, pengagihan juadah itu sudah tentu mengeratkan lagi silaturrahim antara pemberi dan penerima termasuk yang berbeza agama dan kaum.

Katanya, ia secara tidak langsung meningkatkan semangat kekitaan dan perpaduan dalam kalangan masyarakat selain menyemai sikap saling hormat-menghormati terhadap sambutan dan perayaan agama lain.

Dalam pada itu, Datuk Nizam sentiasa mengingatkan kepada masyarakat Tawau agar terus patuh pada PKP, Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan pihak kerajaan serta memastikan keselamatan diri termasuk
mengamalkan norma baharu seperti
menjaga jarak sosial ketika berada diluar.

SumbeR: #BESTAWAUfm

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Info Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

373