Tukang Tarik Kereta Ditahan Miliki Mercun & Syabu

Suspek ditahan bersama mercun.

BEAUFORT: Seorang penarik kereta ditahan polis bersama dadah jenis syabu seberat 6.06 gram dan pelbagai jenis mercun dan bunga api yang disorok di dalam bonet kereta dipandu suspek.

Suspek lelaki warga tempatan berusia 32 tahun ditahan di belakang pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), jam 9.15 malam, Sabtu lalu.

Suspek ditahan bersama syabu.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Azmir Abd Razak berkata, ketika sepasukan polis menjalankan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) fasa 5, menahan sebuah jenis Perodua Axia dipandu seorang lelaki.

“Pemeriksaan pada kereta dipandu suspek menemui pelbagai jenis mercun dan bunga api di bonet kereta yang disorok di dalam tong cat.

“Seterusnya pemeriksaan ke atas suspek menemui satu peket plastik sedarhana besar yang mengandungi serbuk dan ketulan jernih disyaki dadah jenis syabu di poket seluar suspek,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mercun yang disorok di bonet kereta dipandu suspek.

Azmir berkata, anggaran berat kasar syabu yang dirampas 6.06 gram bernilai RM700.

“Tangkapan dan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort untuk siasatan lanjut termasuk mengesan sumber dadah yang diperoleh suspek.

“Ujian saringan air kencing terhadap suspek didapati positif dadah jenis syabu,” katanya.

Menurutnya, suspek direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama.

“Suspek turut disiasat mengikut Seksyen 4(2) Akta Bahan Letupan 1957,” katanya. – Berita Sabah

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Info Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *