Shafie Arah 300 Individu Pindah Ke Hotel Untuk Dikuarantin Di Semporna

SEMPORNA: Tindakan pantas Ketua Menteri mengarahkan semua individu yang dikuarantin di Pusat Kuarantin PPR Bubul Ria, Semporna agar dipindahkan ke hotel berdekatan memberi sedikit kelegaan kepada kira-kira 300 orang individu.

Aduan mengenai kekurangan kemudahan di pusat kuarantin itu mendapat perhatian Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal, yang juga Ahli Parlimen Semporna.

Antara individu yang dipindahkan ke sebuah hotel di Semporna untuk di kuarantin.

Setiausaha Bahagian Parti Warisan Sabah (Warisan) Semporna, Husman Mastal berkata, arahan serta-merta yang diberikan Ketua Menteri itu jelas membuktikan keprihatinannya terhadap masalah rakyat di peringkat akar umbi.

Atas dasar tanggungjawabnya sebagai wakil rakyat, Ketua Menteri mengarahkan kesemua individu termasuk 34 kanak-kanak dan 13 bayi di Pusat Kuarantin PPR Bubul dipindahkan ke Seafest Hotel semalam.

Katanya, walaupun pemilihan pusat kuarantin terletak di bawah tanggungjawab Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) namun, selaku wakil rakyat di kawasan terlibat, usaha tetap diambil bagi memindahkan individu yang terlibat ke tempat yang lebih selesa.

Beliau berkata, penempatan di pusat kuarantin ini hanya bersifat sementara maka, orang ramai seharusnya bersabar dan menjalani kuarantin sehingga tempoh 14 hari tamat.

Difahamkan ada antara individu yang dikuarantin di Pusat Kuarantin PPR Bubul Ria itu tiba pada 15 Mei dari Semenanjung Malaysia.

Menurutnya, akan ada lagi individu bakal dimasukkan ke pusat kuarantin di Semporna dan mereka akan ditempatkan di Hotel Green.

Semalam Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin melalui akaun Facebooknya mengkritik kerajaan pimpinan Parti Warisan Sabah (Warisan) disebabkan keadaan pusat-pusat kuarantin yang tidak memuaskan di negeri ini.

Bung mendakwa kerajaan pimpinan Warisan terlepas pandang masalah dihadapi oleh rakyat Malaysia di Sabah.

“Tolong pastikan dulu keadaan di pusat kuarantin seluruh Sabah ada unsur-unsur keselamatan dan kesihatan barulah masukkan mereka ke pusat kuarantin. Jangan buat keputusan tanpa mengambil kira keselamatan rakyat,” katanya.

Berdasarkan kenyataan Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr Christina Rundi semalam, sehingga kini terdapat 8,032 orang menjalani arahan kuarantin di rumah dan seramai 2,788 orang menjalani kuarantin di 44 buah pusat kuarantin seluruh Sabah. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Info Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

4106