Jangan Kaitkan Dengan Parti

Gambar suspek di luar balai polis Kota Belud malam tadi yang tersebar di media sosial.

KOTA KINABALU: Kepimpinan Wira Warisan Bahagian Kota Belud menyerahkan sepenuhnya kepada polis berhubung penahanan Ketua Wira bahagian itu akibat dadah, kelmarin.

Timbalan Ketua Wira Kota Belud, Mohd Khidir Lamsil berkata, kepimpinan Wira Warisan bahagian itu tidak terjejas dengan isu berkenaan.

Katanya, perkara itu sebaliknya adalah atas perbuatan peribadi dan berharap spekulasi yang dibuat tidak dikaitkan dengan parti.

“Sebagai ahli parti, kami mohon perbuatan individu terbabit tidak dikaitkan dengan parti. Kami akan terus bekerjasama dengan pihak polis sekiranya diperlukan untuk membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mohd Khidir berkata, sebagai sahabat seperjuangan, mereka akan sentiasa memberikan sokongan moral kepada individu berkenaan.

Katanya, ini termasuk memberikan nasihat agar ketua pergerakan bahagian itu terus bersemangat dan menginsafi perbuatan berkenaan.

“Setiap manusia itu tidak akan lari daripada melakukan kesilapan. Tiada siapa yang kebal dengan undang-undang,” katanya.

Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Zaini Jass berkata, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta yang sama.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Zaini Jass

Katanya, selain daripada positif dadah, dalam penahanan jam 9.48 malam Sabtu lalu, polis turut menemui 0.11 gram syabu yang dianggarkan bernilai RM50 di dalam kenderaan suspek.

Dia ditahan polis dalam keadaan khayal selepas disyaki terbabit dalam aktiviti penagihan dadah berhampiran Kem Paradise, Kota Belud.

Suspek berusia 30-an itu ditahan polis yang bertindak atas maklumat diterima daripada tentera di kem berkenaan.

Sejak penahanan itu, beberapa keping gambar individu yang didakwa terbabit itu tular di media sosial. – Harian Metro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Info Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

728