Tinjauan MKN Dapati Rakyat Mahu PKPB Diketatkan, Bukan Dilonggarkan – Ismail Sabri

PUTRAJAYA: Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan bahawa tinjauan yang dilakukan oleh Majlis Keselamatan Negara mendapati bahawa ramai rakyat Malaysia yang mahu PKPB diperketatkan dan bukan dilonggarkan.

Mengulas berkenaan ziarah hari raya yang membenarkan 20 orang maksimum dalam satu rumah pada satu masa, beliau menyatakan bahawa apabila kerajaan melonggarkan untuk membolehkan kunjungan pada hari raya dengan bersyarat, ramai yang tidak bersetuju dengan kelonggaran tersebut.

“Saya banyak terima whatsapp bertanya kenapa kita longgarkan dan sebagainya. Walaupun satu hari tu dan 20 sahaja maksimum berdasarkan juga kepada keluasan rumah dan sebagainya.

Kalau rumah tu kecil tak boleh 20, sebab penjarakan sosial merupakan syarat yang utamanya. Itu pun bila kita beri sedikit kelonggaran, ramai yang menyatakan tak boleh. Kerajaan tidak boleh pun memberikan kelonggaran”, ujarnya.

Justeru daripada itu, beliau menyatakan bahawa disebabkan itulah kerajaan tidak membenarkan orang ramai pulang ke kampung.

“Tujuan kita sekat untuk mengelakkan merebaknya lebih banyak lagi covid-19 ini kepada keluarga kita yang berada di kanpung dan sebagainya”, katanya. – BERNAMA

1636