Jangan Jadi Penyebab Anak Dijangkiti COVID-19

KUALA LUMPUR: Sejak kerajaan mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pada 4 Mei lalu, ramai dalam kalangan ibu bapa dilihat mula mengambil kesempatan membawa anak-anak keluar.

Sebahagian besar kini dilihat bersama anak-anak keluar membeli-belah terutama menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi, masing-masing bagai tidak menghiraukan akan bahaya ‘musuh senyap’ yang menanti di luar rumah.

Mereka ini tegar mempertaruhkan nyawa anak mereka semata-mata untuk mendapatkan barangan keperluan Aidilfitri termasuk baju baharu.

Apabila ditanya, alasan yang diberikan cukup mudah, takut baju yang dibeli tidak padan saiznya dan tiada orang menjaga anak di rumah.

Hampir saban hari Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, menasihati orang ramai bahawa selain warga emas dan mereka yang berpenyakit kronik, kanak-kanak juga golongan berisiko tinggi dijangkiti oleh virus itu.

Walaupun setakat ini tiada kes kematian COVID-19 membabitkan kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah, sehingga semalam Kementerian Kesihatan merekodkan 317 kes positif virus itu adalah dalam kalangan kumpulan umur berkenaan.

Dr Noor Hisham memaklumkan, daripada jumlah itu, 112 kes atau 35 peratus dilaporkan dalam kalangan kanak-kanak berusia empat tahun ke bawah dan 22 kes membabitkan bayi berusia kurang setahun!

Justeru, dalam hal ini, hanya ibu bapa yang mampu menjadi benteng pertahanan untuk mengelak anak mereka daripada menjadi mangsa serangan virus yang setakat ini sudah meragut 113 nyawa di negara ini.

Kesedaran dalam kalangan ibu bapa amat dituntut selain perlu memainkan peranan memberi didikan kepada anak-anak supaya mengamalkan tahap kebersihan yang tinggi.

Seperti kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, walaupun ibu bapa tidak disekat membawa anak-anak ke pusat beli-belah mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 ketika PKPB, keluarga tanggungjawab untuk tidak mendedahkan kanak-kanak kepada bahaya itu.

Jangan disebabkan hanya hendak menggembirakan anak-anak dengan membeli baju raya, ibu bapa pula meraung di pagi raya apabila anak-anak terpaksa mendapatkan rawatan di hospital akibat terkena ‘kluster pusat beli-belah’ angkara kecuaian sendiri. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Info Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *