Pantau 100 Gajah Berkeliaran Di Felda Sahabat

Gajah berkeliaran di kawasan Anjung Teduh, Felda Sahabat, Lahad Datu.

LAHAD DATU: Hampir 100 gajah dipercayai berkeliaran di kawasan Anjung Teduh, dekat Felda Sahabat, Lahad Datu sejak empat bulan lalu hingga mencetuskan kebimbangan penduduk di kawasan terbabit apabila haiwan itu sudah mula memasuki penempatan mereka.

Pengarah Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah, Augustine Tuuga berkata, pihaknya menerima makluman berhubung kejadian itu dan sudah menghantar enam kakitangan jabatan itu ke kawasan berkenaan bagi mengawal keadaan.

“Kawasan itu sudah beberapa kali dicerobohi kawanan gajah berkenaan tahun ini.

“Berdasarkan laporan terbaru saya terima, ada 100 gajah yang berkeliaran di situ, bukan hanya 30 ekor seperti yang disangkakan penduduk,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Semalam, portal Harian Metro melaporkan penduduk di kawasan itu bimbang dengan kehadiran gajah di kawasan penempatan mereka.

Kawanan gajah terbabit memakan tanaman penduduk dan suka menggeselkan badan pada tiang rumah penduduk. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Info Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

776