Covid-19: Dua Kes Baharu Di Sabah Hari Ini, Jumlah Kes Aktif Meningkat

KOTA KINABALU: Sabah hari ini mencatat pertambahan dua kes Covid-19 baharu, menjadikan jumlah keseluruhan kes yang pernah direkodkan setakat ini sebanyak 330.

Statistik yang dimuat naik Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Frankie Poon Ming Fung dalam Facebook beliau, sebentar tadi, menyaksikan dua kes baharu itu berlaku di daerah Kota Kinabalu.

Sementara itu, tiada pesakit yang dilaporkan sembuh, hari ini, manakala jumlah kes yang dirawat semula turut meningkat iaitu sebanyak 10 kes berbanding tujuh semalam.

Berdasarkan statistik berkenaan juga, jumlah kes Covid-19 aktif dan masih dirawat di negeri ini turut meningkat empat kes iaitu sebanyak 35 berbanding 31, semalam.

Dalam perkembangan sama tiada kematian dicatatkan di negeri ini, hari ini, dengan jumlah korban akibat jangkitan wabak itu kekal empat orang iaitu dua di Kota Kinabalu dan masing-masing satu di Tawau serta Tambunan.

Sabah juga kekal negeri keenam tertinggi mencatatkan Covid-19 di belakang Selangor yang mencatat sebanyak 1,612, Kuala Lumpur (1,475), Negeri Sembilan (764), Johor (667), dan Sarawak (544).- Berita Sabah

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Info Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

2824