396 Penumpang AirAsia AK5740 & AK5742 Dari KL-Tawau Diarah Jalani Saringan Covid-19 Kedua

TAWAU: Seramai 396 penumpang pesawat AirAsia AK5742 dan AK5740 dari Kuala Lumpur ke Tawau pada 1 dan 4 Mei diarah menjalani ujian saringan kedua Covid-19 di pejabat kesihatan berhampiran dengan segera.

Pegawai Kesihatan Kawasan II Tawau, Dr Suzalinna Sulaiman berkata, arahan itu dikeluarkan selepas enam penumpang pesawat berkenaan disahkan positif Covid-19, baru-baru ini.

“Berdasarkan rekod 156 penumpang menaiki pesawat AK5742 pada 1 Mei lalu dan empat daripadanya disahkan positif Covid-19.

“Manakala 246 penumpang direkodkan menaiki pesawat AK5740 pada 4 Mei lalu dan dua daripadanya disahkan positif,” katanya kepada media, hari ini.

Tambahnya, selepas menjalani ujian saringan kesihatan pertama, semua penumpang terbabit dikuarantin di kediaman masing-masing sekitar Tawau, Semporna, Lahad Datu dan Kunak.

“Bagaimanapun, selepas enam daripada kumpulan berkenaan disahkan positif baru-baru ini, maka kami mengambil keputusan mengarahkan baki semua penumpang pesawat itu untuk menjalani ujian saringan kedua.

“Sehingga pukul 11 pagi tadi, seramai 39 individu terdiri daripada 31 orang awam dan tujuh pelajar institut pengajian tinggi (IPT) sudah menjalani ujian saringan Covid-19 di Klinik Kesihatan Jenis 2, Jalan Chong Thien Vun,” katanya.

Sementara itu, Suzalinna berkata, masyarakat masih kurang memahami secara keseluruhan kepentingan kuarantin yang dilakukan.

“Walaupun dikuarantin di rumah, sepatutnya mereka turut mengasingkan diri daripada ahli keluarga lain termasuk penggunaan tandas, bilik dan sebagainya dalam tempoh yang ditetapkan.

“Justeru, jika keadaan di rumah tidak mengizinkan pengasingan seperti perkongsian tandas dilakukan, adalah lebih baik tinggal di pusat kuarantin,” katanya.

Menurut Suzalinna, ini disebabkan banyak kes positif Covid-19 sebelum ini tidak menunjukkan sebarang simptom atau tanda gejala penyakit berkenaaan. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Info Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

6585