Covid-19: Keningau Catat Kes Aktif Tertinggi Setakat Ini

KOTA KINABALU: Daerah Keningau setakat ini mencatatkan kes aktif Covid-19 paling tinggi di Sabah iaitu sebanyak lapan kes.

Jumlah kes aktif diperolehi selepas mengambil kira pesakit yang telah sembuh dan meninggal dunia.

Sebelum ini, Keningau pernah merekodkan sebanyak 18 kes namun jumlah pesakit yang telah sembuh setakat ini ialah seramai 10 orang.

Lahad Datu pula kini daerah kedua tertinggi mempunyai kes aktif iaitu sebanyak lima kes.

Daerah terbabit sebelum ini dikategorikan sebagai zon merah selepas mencatat jumlah kumulatif sebanyak 47 kes namun bilangan pesakit yang telah sembuh kini seramai 42 orang.

Sementara itu, dua daerah yang juga sebelum ini dikategorikan sebagai zon merah kerana mencatat jumlah kumulatif kes melebihi 41 iaitu Tawau dan Kota Kinabalu masing-masing, setakat ini, merekodkan empat kes Covid-19 aktif.

Satu lagi daerah yang mencatatkan empat kes aktif ketika ini ialah Semporna manakala Penampang kini mempunyai dua kes Covid-19 yang aktif.

Empat lagi daerah yang masih mempunyai pesakit Covid-19 yang dirawat ialah Tuaran, Kunak, Ranau, dan Beluran dengan kesemuanya masing-masing mencatat satu kes aktif Covid-19.

Setakat ini, kesemua 10 daerah yang disebutkan tadi kini dikategorikan sebagai zon kuning bagi jumlah kes aktif.

Sementara itu, 16 daerah lain termasuk yang pernah mencatatkan kes jangkitan wabak itu kini bebas daripada kes aktif dan dikategorikan sebagai zon hijau.

Daerah-daerah yang sebelum ini pernah mencatatkan kes Covid-19 namun kini kembali ke zon hijau ialah bagi kategori kes aktif termasuklah Kinabatangan yang sebelum ini mencatat 22 kes, Sandakan (21), Beaufort (11), Putatan (8), Kota Belud (5), Sipitang (4), Papar (4), dan Tambunan (3).- Berita Sabah

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Info Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *