Penumpang Bas Ekspres Di Sabah Wajib Isi Borang Deklarasi Covid-19

KOTA KINABALU: Semua penumpang bas ekspres di Sabah disaran untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bagi mengelakkan penularan wabak Covid-19.

Presiden Majlis Pengusaha-Pengusaha Bas Ekspres Sabah (Seboc), Datuk Donald Hanapi berkata, memandangkan operasi bas ekspres di negeri ini akan bermula esok (12 Mei) maka, semua penumpang disaran untuk mematuhi SOP ditetapkan termasuk wajib mengisi borang deklarasi Covid-19 untuk rujukan pihak berkuasa.

Datuk Donald Hanapi

Beliau berlata, selain perlu mengisi borang, penumpang juga diingatkan untuk memakai pelitup muka, duduk berjauhan mengikut jarak yang telah ditentukan, melakukan pemeriksaan suhu sebelum menaiki kenderaan dan tidak dibenarkan untuk berhenti-henti dalam perjalanan.

Katanya, jika penumpang gagal mematuhi SOP yang ditetapkan, mereka tidak akan dibenarkan naik ke dalam bas walaupun telah membeli tiket.

“Bagi pengusaha bas, hanya separuh daripada kapasiti penuh dibenarkan untuk menaiki bas. Sebagai contoh, jika kapasiti bas adalah 41, hanya 20 penumpang dibenarkan naik bagi mematuhi penjarakan sosial yang telah ditetapkan.

“Pengusaha bas juga akan memeriksa suhu penumpang sebelum naik ke dalam bas, manakala bas adalah wajib melakukan disinfeksi sebelum membenarkan penumpang naik,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Donald berkata, terdapat lebih 20 pengusaha bas ekspres dengan lebih 200 buah bas telah bersedia beroperasi mengikut SOP yang ditetapkan.

Tambahnya, tiket bas ekspres boleh dibeli secara dalam talian di aplikasi Easy Book ataupun di kaunter Terminal Bas Inanam seperti biasa.

Menurutnya, bas ekspres juga tidak akan berhenti-henti seperti kebiasaan dan berharap agar penumpang dapat bersedia apa yang patut, termasuk menunaikan solat ketika bas bergerak.

“Saya berharap maklumat ini akan sampai kepada orang ramai terutama mereka yang merancang untuk menaiki bas ekspres dalam masa terdekat, agar tidak berlaku kekeliruan,” katanya. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Info Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *