Covid-19: Sabah Catat 10 Kes Baharu Hari Ini

KOTA KINABALU:  Terdapat pertambahan 10 kes Covid-19 baharu pada hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes positif di negeri ini sebanyak 327 kes.

Menurut Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Frankie Poon, terdapat pertambahan empat kes di Lahad Datu, Semporna sebanyak tiga kes, Keningau (dua) dan Tawau (satu).

Berdasarkan statistik yand dikongsi di laman Facebook menteri itu, Keningau kini mencatatkan kes aktif tertinggi setakat ini dengan lapan kes aktif, diikuti dengan Lahad Datu sebanyak lima kes aktif, dan Tawau, Kota Kinabalu dan Semporna masing-masing dengan empat kes aktif.

Terdapat pertambahan empat kes pulih hari ini, menjadikan  kumulatif kes pulih sebanyak 290 kes.

Sehingga kini, jumlah korban akibat jangkitan wabak Covid-19 di Sabah kekal empat kes iaitu dua di Kota Kinabalu dan masing-masing satu di Tawau dan Tambunan.

Sabah kini berada di kedudukan keenam mencatatkan kes tertinggi Covid-19 di Malaysia. Berada di kedudukan tertinggi adalah Selangor dengan 1,607 kes, Kuala Lumpur (1,458), Negeri Sembilan (742), Johor (667), dan Sarawak (543).

Dalam pada itu, satu kluster membabitkan Tabligh Pakistan di Tawau telah berjaya ditamatkan.

Jumlah kes yang terlibat adalah enam kes dan kluster ini telah pun ditamatkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada hari ini.

Bagaimanapun, terdapat satu kematian Covid-19 yang dilaporkan di Malaysia pada hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian di negara ini sebanyak 109 kes.

Kes kematian terbaru itu melibatkan seorang lelaki warganegara Malaysia berusia 63 tahun yang mempunyai penyakit kencing manis dan barah hati.

“Beliau dirawat di Hospital Kuala Lumpur pada 8 Mei dan telah disahkan meninggal dunia pada pukul 5.15 pagi tadi,” kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah semasa sidang media harian di Putrajaya, hari ini.

Katanya, terdapat pertambahan 70 kes baharu Covid-19 pada hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 di Malaysia sebanyak 6,726 kes.

Daripada 70 kes itu, 13 adalah kes import dan 57 lagi adalah kes tempatan.

Manakala, seramai 88 pesakit telah pulih sepenuhnya dan ini menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sebanyak 5,113 kes.

Sebanyak 20 kes dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan daripada jumlah itu, tujuh orang pesakit memerlukan alat bantuan pernafasan.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Info Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *