Semua Bengkel Kereta, Kilang & Ladang Sawit Di Sabah Boleh Beroperasi Seperti Biasa

BELURAN: Semua bengkel kenderaan di Sabah dibenarkan beroperasi seperti biasa setiap hari bermula esok.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, setiap bengkel bagaimanapun diwajibkan mematuhi setiap prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan bagi memastikan pencegahan wabak Covid-19 dapat diteruskan.

“Kena ikut setiap SOP yang ditetapkan kerana kita mahu ada penjarakan sosial dan pencegahan kesihatan.

“Kita sedar bengkel kenderaan ini merupakan satu keperluan, maka kita berikan kelonggaran bagi industri tertentu,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Ketua Menteri berkata, premis menjual alat ganti kenderaan bagaimanapun masih beroperasi secara berkala seperti yang ditetapkan sebelum ini sehingga pengumuman lanjut dibuat.

Sementara itu, Mohd. Shafie turut mengumumkan semua ladang dan kilang sawit di pantai timur kini dibenarkan beroperasi seperti biasa selepas jangkitan wabak di kawasan tertentu kini terkawal.

“Kalau mahu beroperasi 24 jam boleh tapi jumlah pekerja mesti dikawal supaya ada penjarakkan sosial.

“Kilang-kilang dan ladang sawit juga perlu mengambil pekerja asal mereka kerana kita tidak mahu rakyat hilang pekerjaan,” tegas beliau. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Info Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *