Sabah Laksana PKP Tahap 5, Benarkan Beberapa Sektor Beroperasi

KOTA KINABALU: Kerajan Sabah melaksana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahap lima secara berperingkat bermula pada hari ini (7 Mei).

Bagaimanapun pelaksanaan itu tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Kesihatan Malaysia.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata, susulan pelaksanaan itu, beberapa sektor akan dibenarkan beroperasi.

“Untuk peringkat permulaan ini, sektor dibenarkan beroperasi adalah sektor Pertanian dan Industri Makanan (serta rangkaiannya); Sektor Perkilangan dan Pembuatan (serta rangkaiannya) dan operasi logistik seperti pengangkutan darat, jeti dan pelabuhan.

“Kerajaan negeri juga memutuskan membenarkan kilang-kilang dan ladang-ladang sawit di Lahad Datu, Kunak dan Kinabatangan untuk beroperasi semula tertakluk kepada pengesahan bebas Covid-19 daripada Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS),” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Katanya, kerajaan negeri ingin menegaskan bahawa keselamatan dan kebajikan rakyat Sabah merupakan keutamaan negeri Sabah.

Beliau berkata, pelaksanaan PKP tahap lima itu seiring dengan Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam kawasan Tempatan Jangkitan) (No 5) 2020, yang mula berkuatkuasa pada 4 hingga 12 Mei di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Semalam, Mohd Shafie menegaskan sekali lagi bahawa Kerajan Sabah masih mengekalkan status quo, untuk meneruskan pelaksanaan PKP sehingga 12 Mei ini.- BorneoToday

2314