TM Digesa Percepat Pemasangan Rangkaian Unifi Di Kawasan Luar Bandar Sabah

KOTA KINABALU, 3 Mei: Telekom Malaysia (TM) digesa percepatkan pemasangan rangkaian Unifi di kawasan pinggir bandar dan luar bandar di Sabah untuk memudahkan pelajar meneruskan “pembelajaran dari rumah” sepanjang tempoh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Dr Jeffrey Kitingan yang membuat gesaan itu berkata kemudahan itu akan membolehkan pelajar terlibat secara aktif dalam pelbelajaran secara dalam talian di rumah, serta untuk memenuhi peningkatan permintaan bagi e-dagang di bawah ‘norma baharu’.

“Saya difahamkan TM telah diberikan projek ‘Universal Service Provider (USP)’ oleh kerajaan untuk memasang rangkaian gentian optik dan perkhidmatan di kawasan luar bandar dan pedalaman.

“Saya juga difahamkan bahawa Projek USP 2020 sekali lagi diberikan kepada TM awal tahun ini, Malangnya, sehingga kini tiada kerja telah dimulakan di bawah projek baharu yang diberikan itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya ini merupakan masa paling kritikal namun amat sesuai untuk kerajaan membantu pelajar di Sabah, dengan menambah baik rangkaian telekomunikasi dan internet di negeri itu, terutamanya di kawasan luar bandar, sekali gus membolehkan pelajar meneruskan pendidikan mereka secara dalam talian di rumah sehingga sekolah dibuka semula.

Menurut kajian dijalankan Kementerian Pendidikan Sabah baru-baru ini, Jeffrey berkata dianggarkan kira-kira 50 peratus pelajar di Sabah tidak mempunyai telefon pintar atau data internet, atau kedua-duanya.

Sehubungan itu, katanya beliau akan membawa perkara itu kepada perhatian dua rakannya di peringkat Persekutuan – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (bertanggungjawab bagi Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, dan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah, bagi percepatkan pelaksanaan projek rangkaian selular yang amat diperlukan untuk menambah baik liputan internet.

BERNAMA

1106