AirAsia Sambung Semula Penerbangan, Laksana Dasar Perjalanan Baharu

KUALA LUMPUR: AirAsia Group melaksanakan dasar perjalanan baharu untuk penumpangnya berikutan pandemik COVID-19.

Ini termasuk memerlukan penumpang untuk membawa dan memakai topeng muka mereka sendiri sebelum, semasa dan selepas penerbangan, serta semasa mendaftar masuk dan mengambil bagasi.

Penumpang tanpa topeng muka tidak akan dibenarkan untuk menaiki pesawat, kata Ketua Pegawai Keselamatan Kapten Ling Liong Tien dalam kenyataan di laman web AirAsia.

AirAsia turut menyemak semula dasar bagasi kabin untuk memudahkan penjarakan sosial, terutamanya semasa naik dan turun pesawat, membenarkan hanya satu bagasi kabin tidak melebihi lima kilogram bagi setiap penumpang.

Liong Tien berkata, langkah itu akan membantu mengurangkan kontak yang tidak diingini antara penumpang dan bagasi penumpang yang lain dan sebaliknya.

Terdapat juga pemeriksaan suhu di pusat pemeriksaan yang berbeza, termasuk pintu masuk, katanya, sambil menambah, semua kru akan dikehendaki untuk menjalani pemeriksaan suhu selepas setiap syif.

“Sudah tentu, penjarakan sosial perlu dipantau dan akan terdapat penanda di lantai di kawasan untuk beratur, termasuk kaunter daftar masuk serta kiosk.

“Langkah keselamatan lain ialah kaunter daftar masuk alternatif untuk memastikan jarak yang mencukupi, malah kami juga sedang mengusahakan untuk mempunyai proses daftar masuk tanpa kontak,” katanya.

Liong Tien berkata, kru kabin akan dikehendaki untuk memakai peralatan perlindungan di dalam pesawat, termasuk topeng muka dan sarung tangan.

Katanya, kakitangan pengeluaran akan dipantau mengikut garis panduan COVID-19 dan kru kabin yang mengendalikan item menu akan dikehendaki untuk memakai sarung tangan pakai buang.

“Selain itu, kru kabin kami telah dilatih dengan prosedur untuk menguruskan pesakit atau penumpang yang disyaki tidak sihat di dalam pesawat.

“Keselamatan menjadi komponen paling penting dalam industri penerbangan, dan sudah pasti kami akan terus berusaha untuk memastikan kesalinghubungan penting ini memenuhi semua standard kesihatan dan keselamatan yang diperlukan untuk pekerja dan penumpang kami,” katanya.

-BERNAMA

1084