12 Gelandangan Diselamatkan & Ditempatkan Di Dewan Arena Belia Tawau

Keadaan khemah di pusat penempatan sementara gelandangan di Dewan Arena Belia, dekat sini. – Foto NSTP/Ihsan APM

TAWAU: Seramai 12 gelandangan diselamatkan menerusi operasi khas lebih tiga jam di sekitar pusat bandar, di sini, malam tadi.

Operasi bermula jam 9 malam itu tertumpu di beberapa lokasi sekitar pusat bandar selain kawasan yang dipercayai menjadi “sarang” tempat tinggal golongan itu.

Dewan Arena Belia Tawau

Presiden Majlis Perbandaran Tawau (MPT) merangkap Pengerusi Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Daerah, Datuk Ir Amrullah Kamal, berkata operasi itu bertujuan menyelamatkan golongan gelandangan daripada terdedah kepada jangkitan wabak COVID-19.

Amirullah berkata, kesemua yang diselamatkan terdiri daripada 11 lelaki dan seorang wanita berumur antara 40 hingga 65 tahun.

“Ketika ini mereka di tempatkan di Dewan Arena Belia, Jalan Utara yang di kawal selia oleh pelbagai agensi berkaitan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Operasi yang diselaraskan MPT itu turut dibantu Agensi Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan RELA.

Katanya, pihaknya sudah merangka langkah susulan termasuk mengenalpasi dan mengasingkan mereka yang mempunyai masalah mental atau kurang siuman, sebelum dirujuk kepada agensi berkaitan.

“Kita juga akan membantu mereka untuk menjalani ujian saringan yang dikendalikan Pejabat Kesihatan Tawau, bagi membendung penularan wabak COVID-19,” katanya.

Sementara itu, tinjauan mendapati sebanyak 15 khemah yang turut dilengkapi katil mudah alih dan bantal di dewan berkenaan, selain disediakan makanan dan dipantau 24 jam oleh anggota Pertahanan Awam dan RELA. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *