Covid-19: Tiada Kes Baharu Di Sabah Untuk Kali Ketiga Minggu Ini

KOTA KINABALU: Tiada kes baharu Covid-19 yang dilaporkan di Sabah hari ini dan ia merupakan kali ketiga negeri ini tidak merekodkan sebarang kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham berkata, kes di Sabah kekal 311 kes hari ini berikutan tiada sebarang kes baharu yang dilaporkan.

Kali pertama tiada kes dilaporkan pada minggu ini adalah pada 21 dan 22 April lalu. Kemudian dua hari selepas itu hanya satu dan dua kes positif baharu sahaja dilaporkan.

Setakat ini, Tawau kekal mencatatkan kes tertinggi dengan 81 kes termasuk 59 kes yang sudah pulih. Ia diikuti dengan Kota Kinabalu kini mempunyai 47 kes termasuk 27 kes yang telah pulih.

Berada di kedudukan ketiga adalah Lahad Datu dengan 42 kes termasuk 33 kes yang sudah pulih.

Setakat ini, empat kematian direkodkan di Sabah iaitu dua kes di Kota Kinabalu dan satu kes masing-masing di Tawau, Tambunan.

Sehingga kini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan 99 kematian di seluruh Malaysia termasuk dua kes kematian baharu yang dilaporkan hari ini.

KKM melaporkan 51 kes baharu, menjadikan jumlah keseluruhan 5,742 kes. Ia termasuk 3,762 kes yang sudah pulih, setakat ini.

Sermai 36 pesakit kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada jumlah itu, 16 pesakit memerlukan bantuan alat pernafasan. – BorneoToday

1430