PKP: Sabah Beri Garis Panduan Pengurusan Bangunan Perumahan Bertingkat

Sabah menggariskan panduan pengurusan bangunan perumahan bertingkat sepanjang PKP dilaksanakan. – Foto hiasan

KOTA KINABALU: Sabah menggariskan panduan pengurusan bangunan perumahan bertingkat sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Safar Untong, berkata garis panduan berkenaan akan digunapakai sama ada bagi pengurusan bangunan bertingkat yang berdaftar (Management Corporation) atau masih di bawah pengurusan pemaju (Interim Management Corporation.

Safar berkata, menerusi garis panduan itu, semua pengurusan bangunan digesa menutup kemudahan seperti dewan, gimnasium, kolam renang, sauna, taman permainan dan surau.

“Pihak berkenaan juga wajib menyediakan cecair basmi kuman selain saringan suhu badan harus dilakukan di pondok pengawal untuk setiap penghuni, pelawat, penghantar makanan dan kemudahan ‘essential goods’ ke pembangunan perumahan.

“Pengurusan turut mesti melakukan nyah cemar semua kawasan milikan bersama seperti lobi, lif dan ruang koridor.

“Pejabat pengurusan dan perkhidmatan wakil pengurusan dibenarkan beroperasi tetapi bilangan kakitangan yang bertugas serta masa operasi perlu dihadkan bagi memastikan perkhidmatan kepada penghuni tidak terjejas,” katanya melalui kenyataan media di Kota Kinabalu.

Sementara itu, menerusi kenyataan sama Safar memaklumkan kerajaan negeri membenarkan premis pengurusan dan

perkhidmatan jenazah untuk beroperasi setiap hari bermula jam 6 pagi hingga 6 petang. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *