Lelaki Ditahan Miliki Bakakuk, Dadah

Suspek yang ditahan polis kerana memiliki bakakuk dan syabu dalam serbuan di Sipitang.

SIPITANG: Lelaki ditahan kerana memiliki senapang buatan sendiri jenis bakakuk bersama lima butir peluru hidup dalam serbuan di rumah pekerja kebun kelapa sawit di Sungai Tepewah Bamban, di Sipitang, kelmarin.

Suspek berusia 50-an itu ditahan sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sipitang, pada 2 petang.

Ketua Polis Daerah Sipitang, Deputi Superintendan Champin Piuh berkata, bertindak atas maklumat, beliau bersama anggota polis membuat serbuan di sebuah rumah kosong dipercayai didiami pekerja kebun kelapa sawit.

“Hasil serbuan itu menahan seorang lelaki dan merampas senapang bakakuk bersama lima butir peluru hidup.

“Turut dirampas dadah jenis syabu berat kasar 0.55 gram,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Champin berkata, tangkapan dan rampasan dibawa balik ke IPD Sipitang untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata 1960 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 12(1) akta sama,” katanya.

Menurutnya, pihaknya terus berusaha untuk membanteras pengedaran dadah dan mengesan penagih dadah khususnya di Sipitang.

“Polis juga sudah mengenalpasti identiti mereka (penagih dadah) di kawasan Bamban, Mendalong dan sekitarnya.

“Warga Sipitang yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti pengedaran dan penagihan dadah di kawasan daerah ini boleh menghubungi pihak kami,” katanya.

Sementara itu beliau turut mengingatkan masyarakat di Sipitang supaya patuh arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Polis bertindak tegas menangkap mereka yang ingkar dan melakukan kesalahan lain terutama penagihan dadah,” katanya. – HMetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *