Bas Mini Sesak, 15 Penumpang Ditahan

SANDAKAN: Seramai 15 penumpang termasuk seorang wanita yang duduk bersesak dalam sebuah bas mini ditahan dalam sekatan jalan raya di Batu 5, di sini, pagi semalam.

Mereka yang ditahan berusia antara 15 hingga 51 tahun.

Difahamkan, ketika ditahan, bas terbabit dalam perjalanan menuju ke arah pusat bandar sebelum pemeriksaan mendapati semua penumpang duduk tanpa penjarakkan sosial.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Mohd Azhar Hamin, berkata turut ditahan adalah pemandu bas terbabit.

“Semua mereka memberi alasan hendak ke tempat kerja di Batu 3. Semua yang ditahan dibawa ke Balai Polis Sandakan untuk tindakan lanjut,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Peraturan 11(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020.

5287