48,513 Individu Jalani Saringan Covid-19 Di Putatan & Papar

KOTA KINABALU: Sebanyak 48,513 individu telah menjalani saringan pemeriksaan Covid-19 di daerah Putatan dan Papar, dengan sejumlah 526 sampel telah diambil setakat ini.

Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr Christina Rundi berkata, setakat ini hanya lapan kes positif Covid-19 dilaporkan di Putatan dan empat kes di Papar.

“Biarpun tiada pertambahan kes baharu sejak 14 hari lalu di kedua-dua daerah ini namun, anggota kesihatan masih giat menjalankan aktiviti kawalan dan pencegahan.

“Jika dilihat di Putatan, daripada lapan kes yang dilaporkan, tiga merupakan kluster perhimpunan tabligh Seri Petaling dan lima kes lagi adalah kontak generasi pertama. Daripada jumlah ini, tujuh pesakit telah pulih.

“Untuk kes Covid-19 di Papar pula, hanya empat kes dilaporkan dan dua adalah kluster tabligh, satu kes mempunyai sejarah perjalanan ke Semenanjung Malaysia dan satu melibatkan kluster anggota kesihatan. Setakat ini, tiga daripada empat kes itu telah pulih,” katanya dalam satu kenyataan, di sini semalam.

Mengenai ujian sampel yang dijalankan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) setakat ini, tujuh sampel adalah positif dan kesemua merupakan sampel ulangan.

Setakat ini, sebanyak 308 kes dilaporkan di Sabah termasuk 200 kes yang telah pulih. Manakala, empat kematian direkodkan setakat ini iaitu dua kes di Kota Kinabalu dan satu kes masing-masing di Tawau dan Tambunan.- BorneoToday

1643