Lebih RM71 Juta Bantuan Covid-19 Sabah Disalurkan

MohdShafie ketika sidang media selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Tabung Bencana Covid-19 kepada kerajaan Sabah di Kota Kinabalu. Foto Yun Mikail

KOTA KINABALU: Lebih RM71 juta membabitkan bantuan makanan serta kewangan sudah disalurkan kepada golongan miskin, miskin tegar dan B40 di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata peruntukan di bawah Pakej Bantuan Covid-19 Sabah berkenaan membabitkan 358,031 orang penduduk Sabah termasuk yang tinggal di Semenanjung.

“Usaha ini akan kita pertingkatkan dari semasa ke semasa kerana pasti masih ada golongan sasar yang belum menerima bantuan diberikan.

“Saya sendiri sudah maklumkan kepada pejabat daerah dan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) yang memiliki keahlian hampir 3,000 orang untuk meneruskan usaha menyampaikan bantuan ini kepada semua golongan.

“Kita juga mahu sistem penyampaian terus dipertingkatkan selain pangkalan data sedia ada ditambah baik berikutan yakin bukan semua individu tersenarai dalam eKasih dan rekod Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

“Pasti ada individu yang tidak berkeupayaan membayar cukai atau terbiar di kampung-kampung hingga tidak tersenarai dalam eKasih,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas menghadiri Majlis Penyampaian Sumbangan Tabung Bencana Covid-19 kepada kerajaan Sabah, di sini, hari ini.

Sebanyak RM4,9 juta disumbangkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta syarikat swasta di Sabah kepada Tabung Bencana Covid-19 Sabah.

Dalam pada itu, Mohd Shafie menyatakan setakat ini kerajaan negeri sudah menerima sumbangan sebanyak RM15 juta daripda GLC mahupun syarikat swasta.

Sementara itu, Mohd Shafie turut mengumumkan pemberian bantuan sebanyak RM500 kepada kakitangan kerajaan negeri bagi gred 54 dan ke bawah selain anggota perkhidmatan negeri bergaji harian.

Beliau berkata bantuan terbabit bakal diserahkan pada bulan hadapan.- HMetro

222