‘Mulia Sungguh Hatinya’

Rakaman gambar Samsukardi yang tular dan dikongsi di laman Facebook, hari ini. Foto Semporna Kalasahanku

SEMPORNA: “Alhamdulillah… syukur. Mulia sungguh hati dia, semoga Allah membalas semua kebaikan,” Itu antara reaksi warganet berikutan tular gambar seorang lelaki yang membantu menukar tayar ambulans di Jalan Pangi di Kunak-Semporna, hari ini.

Sikap prihatin ditunjukkan Samsukardi Kamare, 30, atau lebih dikenali sebagai Ustaz Ardie itu mendapat pujian warganet yang berusaha menukar tayar kenderaan berkenaan dalam keadaan panas terik.

Menceritakan semula kejadian itu, Samsukardi yang juga seorang imam berkata, dia dalam perjalanan ke surau di Rimbun Hijau, sebelum melihat ambulans berkenaan mengalami kerosakan, 11.30 pagi.

“Pemandunya memaklumkan tayar belakang sebelah kiri ambulans itu pecah selain tidak mempunyai peralatan untuk menukar tayar berkenaan. Dia beritahu sedang menunggu bantuan.

“Kebetulan saya ada menyimpan peralatan dalam bonet kereta sebelum membantu menukar tayar yang rosak itu,” katanya yang turut mempunyai pengalaman sebagai mekanik lebih sepuluh tahun.

Samsukardi berkata, tidak lama selepas itu sebuah lagi ambulans bersama beberapa anggota tiba di lokasi dan turut sama membantunya memasang semula tayar berkenaan.

Katanya, ketika itu terdapat seorang pesakit lelaki yang ditemani isteri dipercayai dalam perjalanan ke Hospital Semporna untuk mendapatkan rawatan.

“Memang tergerak hati mahu tolong kerana selepas melihat kecekalan dan pengorbanan kakitangan kesihatan yang bertungkus lumus melawan penularan wabak Covid-19.

“Ini hanya sumbangan kecil saja jika dibandingkan dengan jasa dan khidmat mereka kepada masyarakat,” katanya. – HMetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *