85% Kes Covid-19 Di Sabah Tiada Gejala Awal

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr Christina Rundi

KOTA KINABALU: Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) mendapati 85 peratus atau 249 kes Covid-19 yang dianalisa di negeri ini tidak menunjukkan sebarang gejala pada peringkat awal.

Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Christina Rundi berkata, daripada 293 kes yang telah dianalisa, sebanyak 249 kes positif yang dilaporkan tidak mempunyai gejala awal.

Beliau berkata, keadaan itu membimbangkan kerana potensi untuk menjangkiti kontak rapat amat tinggi.

Atas sebab itu, JKNS memberi penekanan kepada kepentingan kuarantin bagi mana-mana individu yang mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara mahupun dalam negara.

“Dalam usaha membendung penularan Covid-19, langkah kuarantin ini penting bagi memutuskan rantaian jangkitan agar virus tersebut tidak merebak dan menjangkiti orang lain.

“Untuk itu, sesiapa yang mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara atau ke luar negeri Sabah perlu menjalani kuarantin selama 14 hari,” katanya dalam satu kenyataan, di sini semalam.

Menurutnya, JKNS juga sedang giat mengesan kes Covid-19 dalam kalangan mereka yang mempunyai sejarah pergerakan ke luar negara seperti Thailand, Indonesia dan United Kingdom.

Pengesanan terhadap kes Covid-19 yang mempunyai sejarah perjalanan ke Semenanjung Malaysia juga sedang dijalankan berikutan masih ada kes-kes positif yang dilaporkan di Semenanjung Malaysia.

SumbeR: BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *