Lima Ditahan Ingkar PKP Di Papar

Lima suspek yang ditahan kerana melanggar PKP.- Foto Polis Papar

PAPAR: Polis menahan lima lelaki kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sekitar Papar, semalam.

Semua suspek berusia 20 hingga 50 tahun itu ditahan di beberapa Sekatan Jalan Raya (SJR) sekitar kawasan Papar, Kinarut dan Bongawan.

Ketua Polis Daerah Papar Deputi Superintendan Batholomew Ak Umpit berkata, lima lelaki terbabit yang ditahan akan direman untuk siasatan lanjut.

“Mereka semua melakukan kesalahan mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Peraturan 11(1) Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

“Polis akan terus melaksanakan tangkapan secara berterusan sekiranya masih terdapat orang awam yang ingkar arahan PKP,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Bartholomew berkata, dia menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mengikut arahan PKP yang dikeluarkan.

“Ibu Pejabat Daerah (IPD) Papar berharap orang ramai dapat memberi kerjasama dan sentiasa bersabar sehingga tempoh PKP ini berakhir,” katanya.- HMetro

816