COVID-19: Seramai 2,567 Orang Telah Tamat Kuarantin Di Sabah

KOTA KINABALU: Seramai 2,567 orang daripada jumlah keseluruhan 8,993 telah tamat menjalani perintah kuarantin selama 14 hari di bawah Akta Pencegahan & Pengawalan Penyakit Berjangkit (APPPB) 1988.

Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr Christina Rundi memaklumkan perkara itu dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Beliau berkata, baki selebihnya iaitu seramai 6,426 merupakan kontak rapat yang masih dalam perintah pengawasan dan pemerhatian oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS).

Menurutnya, setakat ini seramai 191 pesakit Covid-19, 72 pesakit dalam siasatan (PUI) dan 26 pesakit dengan Severe Acute Respiratory Infection (SARI) sedang dirawat di enam hospital berpakar di seluruh negeri Sabah.

Selain itu, Christina berkata, sebanyak 1186 ujian telah dijalankan di mana terdapat 10 ujian positif termasuk lima sampel ulangan.

Manakala, katanya, Makmal Hospital Queen Elizabeth telah menjalankan sejumlah 167 ujian sejak 30 Mac 2020.

Mengenai pemeriksaan premis melalui Operasi Bersepadu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dijalankan oleh Unit Inspektorat & Perundangan JKNS bersama Polis Diraja Malaysia, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) telah memeriksa 353 premis.

Daripada jumlah premis yang diperiksa, enam premis makanan di daerah Sandakan telah diarahkan untuk ditutup di bawah Seksyen 18(1)(f) APPPB 1988 termasuklah satu kedai runcit di Daerah Keningau yang diberikan amaran bertulis kerana melakukan kesalahan di bawah Peraturan 5(2) Peraturan-Peraturan Pencegahan Pengawalan Penyakit Berjangkit.

Sehubungan itu, beliau berkata, pihak JKNS juga ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada Kerajaan Negari Sabah Osimal Foundation, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) kerana membantu dalam memastikan keperluan untuk menangani penyakit Covid-19 seperti peralatan perlindungan diri, keperluan makmal dan peralatan hospital dapat dibawa masuk ke Negeri Sabah dengan kadar segera. – BorneoToday

3959