COVID-19: 8,128 Masih Dalam Pemantauan Di Sabah

Christina Rundi

KOTA KINABALU: Seramai 8,128 individu di Sabah masih berada di bawah pemantauan perintah pengawasan bagi mengelakkan penular wabak Covid-19.

Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Christina Rundi berkata menerusi jumlah itu, 6,370 kontak rapat di bawah pemerhatian oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS).

“Manakala 1,758 kontak rapat sudah menamatkan tempoh kuarantin di rumah selama 14 hari. Semua pemantauan ini dilaksanakan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (APPPB) 1988.

“Selain itu, 673 individu kini masih ditempatkan di 26 pusat kuarantin seluruh negeri termasuk satu pusat kuarantin baharu di Asrama Tongkungan, Kompleks Sukan Tambunan manakala 68 orang sudah dibenarkan pulang,” katanya melalui melalui kenyataan media di Kota Kinabalu, semalam.

Dalam pada itu, Christina berkata sebanyak 593 ujian sudah dijalankan dan tujuh didapati positif manakala enam sampel ialah ujian ulangan.

“Selain itu, seramai 197 pesakit Covid-19, 87 ‘Person Under Investigation’ (PUI) dan 22 pesakit dengan ‘Severe Acute Respiratory Infection’ (SARI) sedang dirawat di enam hospital pakar seluruh negeri.

“Seorang pesakit disahkan sembuh dan dibenarkan keluar daripada Hospital Queen Elizabeth (HQE) sekaligus menjadikan kumulatif pesakit sembuh seramai 13 orang,” katanya. – Harian Metro