PKP Perlu Disambung, Tunggu 10 April Ini?

Sekaran jalan raya di Jalan Apas, Tawau bagi PKP Fasa Kedua.

KUALA LUMPUR: Meskipun ada petanda awal yang baik, masih awal untuk membuat kesimpulan mengenai keberkesanan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, tempoh dua minggu fasa kedua PKP ini adalah waktu genting untuk menilai keberkesanannya.

“Kita akan menilai semula keberkesanan pada hari ke-10 sama ada PKP perlu disambung atau sebaliknya.

“Beberapa hari sebelum tamat PKP kedua ini kita akan lihat keberkesanannya, walaupun semalam saya mengatakan ada petanda awal menunjukkan prestasi baik tetapi jangkaan itu terlalu awal untuk membuat sebarang kesimpulan,” katanya dalam sidang media khas Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, apa yang penting dalam tempoh dua minggu ini adalah untuk melandaikan graf.

“Alasan utama untuk kita melandaikan graf kerana bukan kita jangka kosong peratus kes Covid-19 dalam negara ini, tetapi untuk membolehkan hospital kita dapat menerima pesakit jika kes naik mendadak.

“Jika kita lihat pesakit di Unit Rawatan Rapi (ICU) juga meningkat, jadi kita perlu memastikan kapasiti hospital mampu menampung jumlah pesakit untuk menyediakan perkhidmatan terbaik bagi pesakit,” katanya.

Sementara itu, Noor Hisham berkata, kadar kematian di Malaysia masih rendah iaitu 1.6 peratus jika dibandingkan dengan negara lain.

“Kita juga menubuhkan Jawatankuasa Semakan Kematian Covid-19 Kebangsaan diketuai Datuk Dr Christopher Lee untuk mengenal pasti dan menasihatkan trend tertentu penyebab kematian.

“Kita dapati ada beberapa golongan berisiko iaitu kebanyakan mempunyai sejarah kesihatan seperti kencing manis, darah tinggi mencatatkan 67 peratus.

“Selain golongan kedua pula usia lebih lanjut dan juga mereka yang lewat menerima rawatan menyebabkan radang paru-paru sudah dijangkiti seperti pesakit berusia 20-an dan 30-an,” katanya.

SumbeR: Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *