COVID-19: 36,886 Orang Di Sabah Sudah Menerima Bantuan ‘One-Off’ RM300

KOTA KINABALU, 2 April: Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata seramai 36,886 orang di Sabah telah menerima bantuan khas COVID-19 secara ‘one off’ berjumlah RM300 seorang, membabitkan nilai keseluruhan bantuan RM11,065,800.

Beliau berkata daripada jumlah itu sebanyak 20,157 orang adalah golongan “vulnerable’ atau memerlukan perlindungan, anak yatim (2,197), dan sebanyak 14,532 orang lagi terdiri daripada golongan Orang Kurang Upaya, ibu atau bapa tunggal dan pesakit kronik. 

“Perbelanjaan bantuan makanan kepada pelajar-pelajar Sabah di Semenanjung  berjumlah RM189,560 melibatkan 2,554 orang pelajar di 33 institusi pengajian tinggi juga telah diagihkan melalui Pejabat Perhubungan Negeri Sabah di Kuala Lumpur,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini. 

Beliau berkata selain itu sebanyak 17 Pusat Kuarantin di Sabah yang melibatkan 2,076 orang menerima perbelanjaan bantuan makanan berjumlah RM91,440.

Katanya bantuan makanan untuk 20 kanak-kanak jalanan (gelandangan) yang dikuarantin sementara juga telah dilaksanakan membabitkan perbelanjaan berjumlah RM2,354. 

Mohd Shafie juga berkata setakat ini seramai 410 orang daripada kategori miskin dan miskin  tegar di Sabah telah menerima bantuan ‘one off’ RM500 seorang dengan jumlah bayaran keseluruhan sebanyak RM205,000.

“Manakala sebanyak 12,678 lagi orang penerima bantuan dalam kategori ini sedang dalam proses pembayaran yang melibatkan jumlah peruntukan sebanyak RM6,339,000,” katanya. 

Beliau berkata sebanyak 22 orang pesakit COVID-19 di negeri ini juga telah menerima bantuan ‘one off’ RM500 seorang, manakala  188 lagi pesakit akan menerima bantuan sebaik sahaja maklumat akaun mereka diterima.

BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *