700 Tentera Ditugaskan Seluruh Sabah Bantu PDRM Jalankan PKP

KOTA KINABALU: Sebanyak 700 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah dikerah untuk membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negeri.

Panglima Divisyen Kelima Infantri, Leftenan Jeneral Datuk Mohamad Khir Abdullah berkata, jumlah tersebut melibatkan 45 anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan 30 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) manakala selebihnya adalah tentera darat.

Beliau berkata, setakat ini sebanyak 40 sekatan jalan raya dan 17 rondaan telah dijalankan bersama PDRM.

“Dalam pelaksanaan PKP ini tentera membantu polis dalam melaksanakan sekatan jalan raya dan rondan di seluruh Sabah,” katanya kepada pemberita selepas membuat kunjungan hormat kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di sini, hari ini.

Beliau berkata, tentera turut menghulurkan bantuan lain kepada kerajaan seperti lori untuk mengangkut barangan kesihatan yang sampai baru-baru ini serta katil yang digunakan di pusat kuarantin di Likas serta Hospital Queen Elizabeth 1.

Mohammad Khir berkata, anggota tentera yang bertugas semasa PKP akan digilirkan dengan anggota baharu bermula esok.

“Semua anggota berkenaan akan bertukar dengan anggota lain sehingga selesai PKP pada 14 April ini, bagaimanapun kita sentiasa bersiap sedia untuk membantu pihak polis sekiranya PKP dilanjutkan,” tambahnya.

Mengulas tentang kunjungan hormat beliau ke atas Ketua Menteri, katanya, tujuannya adalah untuk memaklumkan tentang persaraannya secara wajib bermula esok.

“Saya berjumpa dengan Ketua Menteri untuk menyampaikan ucapan terima kasih kerana memberi sokongan dan kerjasama selama saya menjawat jawatan ini.

“Esok saya akan mula bercuti sebelum bersara wajib daripada ATM selepas 41 tahun berkhidmat,” katanya.

1300