PKP: ESSCom Kerjasama Dengan Filipina Perketat Kawalan Sampadan

SANDAKAN, 1 April: Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) sentiasa bekerjasama dengan pasukan keselamatan Filipina bagi mengetatkan lagi kawalan agar tiada berlaku ancaman jenayah rentas sempadan, khususnya semasa penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini.

Ketua Pegawai Eksekutif ESSCom Noor Alam Khan A Wahid berkata pihaknya telah mendapat maklumat terdapat satu cubaan memasuki perairan Malaysia, dipercayai kumpulan penculik untuk wang tebusan (KFRG) dari negara jiran, namun gagal.

“Cubaan kumpulan itu masuk ke perairan negara dipercayai pada 29 Mac lepas.

“ESSCom terus melaksanakan tugas mengawal di laut seperti biasa, termasuk dalam tempoh PKP dikuatkuasakan, agar tiada yang mengambil peluang untuk melakukan jenayah,” katanya.

Noor Alam berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan bubur lambuk sumbangan ESSCom kepada petugas barisan hadapan seperti petugas kesihatan, anggota polis dan Angkatan Tentera Malaysia di sini, hari ini.

Selain operasi mengawal di perairan, beliau berkata ESSCom terus menjalankan operasi di pusat pemeriksaan daratan di Sapi Nangoh dan Kalabakan, walaupun terdapat banyak sekatan jalan raya diadakan semasa PKP.

Mengenai program itu, Noor Alam berkata inisiatif ESSCom itu sebagai menghargai pengorbanan petugas berkenaan dalam memastikan rakyat terhindar daripada jangkitan COVID-19 semasa penguatkuasaan PKP yang bermula 18 Mac lepas  sehingga 14 April ini.

BERNAMA

746